SYT 33
SYT 33
POV AYYAN
MATAKU terpejam rapat, diri dibaluti kesunyian yang semakin melarat merobek tangkai hati. Belakang tanganku yang aku jatuhkan atas dahi, semakin menekan di situ. Ya Allah, tabahkan aku. Fikiranku terus-menerus memikirkan tentang seorang perempuan, yang tidak habis-habis membuat segala jiwa ragaku kacau.
Usaha aku dengan menghantar mesej dan menelefon tanpa henti seakan sia-sia. Dia tidak pedulikan aku. Malah, aku sekali lagi menerima sakit perasaan tidak diendahkan. Kenapa insan yang aku sayang sepenuh hati sanggup memperlakukan aku begini? Bukankah dia sudah sedia mengerti segala sengsara yang aku tanggung selama ini, merindui seseorang yang meninggalkan aku. Insan yang sangat aku dambakan kasih sayang mengalir dalam urat nadi, tetapi pergi tanpa belas kasihan hanya kerana tidak betah hidup dalam serba kekurangan. Insan itu sangat aku bencikan seluruh hidupku!
Nur Arina. Nama itu, sudah sebati dan menjadi sebahagian terpenting dalam hidupku. Aku terlalu rindukan dia. Rindukan segala perhatian yang pernah dia berikan kepadaku dahulu. Yang kini, semakin menghilang sirna kerana sesuatu yang aku tidak mengerti tentangnya. Ya, sesuatu itu sangat misteri. Hendak aku rungkaikan, sangatlah tidak dapat aku jumpai apa sebenarnya yang sedang melata dalam sanubarinya sehingga aku disisihkan tanpa kerelaanku.
Adakah aku yang bersalah? Kenapa sukar sekali untuk dia luahkan segala yang berbuku di hatinya kepadaku? Andai aku bisa menyelinap ke dalam hatinya, sudah pasti akan ku lakukan agar semua rahsia hatinya dapat ku bongkar dan ketahuinya. Sungguh, aku terseksa kerana hanya mampu melihat sahaja sinar kesengsaraan di dalam anak matanya tiap kali mataku terpanah di situ.
Tubuhku bergerak, mengiring. Mataku kembali terbuka. Memandang kosong, apa yang terbentang di depan mata. Dinding bersalut putih, yang sudah luntur warnanya seperti warna hatiku yang suram dan sepi. Jika diikutkan rasa hati yang bergelodak, ingin sekali aku mendapatkan dia sekarang ini. Bersua muka depan mata, meminta penjelasan mengapa dia rahsiakan tentang perhubungan dia dengan lelaki bernama Ian itu. Ian... nama itu jika disebut berulang kali, hatiku sakit sendiri tidak terperi. Aku tidak tahu mengapa, sakitnya tembus ke lubuk hati.
Adakah aku cemburu? Tidak, tidak sama sekali. Aku pasti itu bukan cemburu, hatiku sakit kerana kata-kata jantan itu. Masih berbekas parahnya telingaku akibat kata-kata itu. Boleh pula dia usulkan kata-kata supaya aku dan Kak Reen berpisah hanya kerana dia. Apa masalah dia? Dia tiada hak untuk memutuskan hubungan kami, yang telah termeterai lama. Aku tak nak berpisah dengan Kak Reen. Aku dah terlanjur sayangkan dia, melebihi sayang kepada diriku sendiri.
Perkara lain juga turut menambah lara, serta mencucuk rasa tidak senang dalam hatiku kerana aku gusar memikirkan andai Ian, lelaki itu hanya ingin mempermainkan perasaan Kak Reen. Kerana itulah, aku hilang punca seperti ini. Takut andai hati Kak Reen akan berkecai kerana lelaki itu. Namun, sikap tidak endah Kak Reen telah meretakkan hatiku sendiri. Gusar dan keresahan aku ini tidak dipandang langsung. Apa yang perlu aku lakukan, Ya Allah?
Denyutan tiba-tiba hadir dalam luka jahitanku. Tidak ku sedar diriku telah menghempap area luka itu. Segera aku telentangkan tubuh semula. Mata terarah pada dasar siling. Berbalam-balam tubir mataku, terasa ada air hangat bertakung di situ. Pedih di hati tiada siapa yang tahu. Sakitnya, entah sampai bila hendak menyeksa sanubariku. Deringan yang rancak menyentakkan diriku yang sedang melayan gundah di hati. Jari-jemariku meraba tanpa arah di atas permukaan tilam, mencari telefon untuk mengetahui gerangan menelefonku lewat malam begini.
Dalam hati, tidak putus-putus aku mengharapkan Kak Reen. Tetapi, anganku musnah tatkala menatap skrin, nama lain yang tertera di situ. Ainura lagi. Kenapa dia telefon aku lagi, tak cukup ke dia lancarkan perang mulut petang tadi. Setelah memikir dua tiga kali, aku angkat juga panggilan itu. Kerana sayang, mengalah lebih baik.
Suara manja dan lembut dari talian menderu masuk di halwa telingaku. Aku fikir dia ingin menyambung perang, ini elok pula bersayang dengan aku. Sudah hilangkah marahnya tadi?
"Tak tidur lagi, sayang?" soalku prihatin. Jarang sekali Ainura tidur lambat, sebab itu pertanyaan itu muncul di bibir.
"Tak. I asyik teringat pasal you. I tahu I dah melampau, marah-marah you petang tadi," balas Ainura dengan suara meleret-leret. Penyesalan dia, sedikit menambah kelegaan dalam hati. Syukurlah kalau dia tidak mahu menyambung amarah kepadaku. Aku sendiri letih melayan sikap mengada-ngadanya yang sejak kebelakangan ini semakin menjadi-jadi. Setiap punca pergaduhan kami pasti nama Kak Reen menjadi sasaran Ainura. Aku bingung untuk merungkaikan masalah yang dibangkitkan oleh Ainura. Tidak habis-habis mengatakan aku sayangkan Kak Reen melebihi sebagai kakak angkat.
Argh, kata-kata Ainura tak masuk dek akal! Aku dan Kak Reen tak boleh lebih daripada hubungan ini. Aku hormat Kak Reen, tidak mungkinlah aku berani mengangankan untuk mencintai diri dia. Aku tidak layak menjadi seorang lelaki untuk dia. Dan dia, terlalu jauh sekali untuk menganggap aku lebih daripada sekadar adik, kerana dia pasti menyukai lelaki yang lebih berumur daripada dia. Bukan lagi muda seperti aku.
"Sayang, you ni diam je... masih marahkan I?"
Terkebil-kebil mataku, tersedar kembali kerana terlanjur tenggelam dalam dunia sendiri sampai tidak tersedar suara manja Ainura.
"Sorry, sayang. I tak marahkan you, I dah maafkan you. Lepas ni, boleh you janji? Jangan babitkan Kak Reen dalam hal kita. I tak suka dengar banyak kali you cakap I sukakan Kak Reen, penat I dengar dan nak kena ulang banyak kali yang I cuma anggap dia sebagai akak angkat. I dah kata cukup jelas kan, I hanya cintakan you, sayang. You still ragu-ragu dengan cinta I ke, sayang?" terangku satu persatu, lembut suaraku memujuk dia. Aku tidak mahu dia memburukkan Kak Reen, setiap hinaan dia dan prasangka dia terhadap Kak Reen menyakitkan hatiku sampai pernah aku rasa benci kepada Ainura. Perasaan benci itu cuba ku buang kerana aku tahu Ainura itu terlalu dikuasai cemburu buta, itu aku cuba fahami dan bersikap lebih kurang kerana tidak mahu meretakkan hubungan yang masih baru ini.
"I tak janji... you pun kena faham I, Ayyan. I sayang dan cintakan you sangat-sangat sebab tu I emosi bila you lebihkan Kak Reen dari I. I tak nak you asyik teringatkan dia je, biarlah dia dengan hidup dia. You teruskan ajelah macam biasa, dengan I. Jangan pedulikan dia lagi..."
Terhembus keluhan kasar dari bibir. Marah sedang melatari bahang dalam hati. Aku tahankan gelodak amarah. Bercakap dengan Ainura, kadang-kadang terpaksa tahankan hati daripada melepaskan marah. Nanti terlepas kata kasar sedikit, mulalah Ainura makin berangin satu badan. Sabar ajelah, Ayyan. Siapa suruh kau cari perempuan manja macam ni. Hadap ajelah perangai dia kalau dah sayang.
...
POV ARINA
SEBULAN KEMUDIAN~
SELAMA sebulan ini, aku membuat keputusan yang paling sukar aku lakukan. Percaya atau pun tidak. Aku sudah memilih seorang lelaki untuk mengisi kesunyian dalam hatiku supaya dapat mewarnainya semula dalam lakaran penuh hiasan indahnya bahagia.
Dia lelaki yang aku pilih, walaupun hanya sekadar kekasih buat masa ini. Aku senang dan selesa bersama dengannya. Dia juga menyayangiku dan menerimaku seadanya, tanpa berkeluh kesah. Aku turut menerima dia, tanpa merungut, dan sikapnya selalu sahaja menyenangkan diriku. Dia sungguh pandai menjaga hatiku daripada terluka, tak pernah lagi aku rasai kecil hati apabila berbicara mesra dengannya.
Aku bersyukur kerana dia hadir untuk mengubat duka dan lara yang aku pendam seorang diri selama ini. Kehadiran dia selalu sahaja menceriakan hari-hari yang mendung, dirinya ibarat pelangi indah. Sering membahagiakan aku dengan cara sederhananya, tidaklah melampau-lampau. Cukup membuatkan aku sentiasa tersenyum.
Mataku melirik dia, yang sedang bertungkus lumus menyiapkan manuskrip. Sikap rajinnya itu juga turut menyenangkan hatiku. Dia sudah sempurna di mataku sebagai lelaki yang cukup matang dalam segala hal. Tidak mencampurkan hal kerja dengan peribadi. Hubungan kami ini juga turut dirahsiakan, hal ini kerana permintaan ku sendiri. Dia menurut tanpa banyak soal, dan memahami aku tanpa syak wasangka.
Aku segera mengalihkan pandangan apabila Kak Tiera mengetuk mejaku. Aduh, aku mengetuk kepalaku kerana tersasar menjauh. Kenapalah boleh terberangan di sini. Kalau Kak Tiera tahu macam mana? Haish, pecah lubang sendirilah aku ni.
"Dah siap manuskrip tu, Reen?" tegur Kak Tiera.
"Alhamdulillah, dah. Kak Tiera nak tengok ke?" soalku sambil mata dan jari-jemari lincah mencari file folder di skrin komputer. Manuskrip yang aku edit sudah terhasil cantik dalam tempoh kurang sebulan. Aku berkerja keras mengedit setiap malam, dan setiap bacaanku mesti terhasil air mata syahdu. Memang power betul cerita yang dikarang oleh penulis ini. Setiap bait katanya tidak sah kalau tidak menyentuh perasaanku. Endingnya juga benar-benar menyentuh hati, bahagia dalam tangisan.
"Tahniah Reen! Akak bangga dengan kamu tau. Kira baguslah dapat siapkan dalam tempoh macam ni. Reen pun masih baru tetapi rajin betul siapkan. So, macam mana dengan ending? Sad ke happy?" puji Kak Tiera bersambung dengan suara yang teruja bertanya tentang manuskripku ini.
Aku terharu mendengar pujiannya. Perasaan menjadi berkobar-kobar pula untuk menceritakan tentang kesudahan cerita itu kepada Kak Tiera.
"Dua-dua. 2 in 1, kak. Memang tersentuh hati baca kesudahan cerita tu, kak. Hintnya, Arisa bahagia tetapi bukan dengan hero. Tapi...,"kataku terhenti dan tergendala gara-gara perempuan yang bernama Siti, seorang cleaner di sini.
"Awak ni Nur Arina, ke?" soalnya termengah-mengah.
"Ye, kenapa?" soalku kembali, berkerut dahiku berlapis-lapis. Ada apa hal, macam lain macam je gaya. Gaya macam dikejar hantu.
"Ada orang nak jumpa."
"Siapa?"
"Er, entah ek lupa pulak akak. Yang penting lelaki mudalah. Tadi, akak tengah mop lantai kat bawah, boleh pulak dia terjatuh. Kesian akak tengok, lepas tu dia minta tolong panggilkan Nur Arina. Katanya ada hal."
"Haa?" Terkejut aku. Jantung seperti mahu luruh. Lelaki muda? Terjatuh? Ayyan, ke?!
....................................................
Writer's comment : hehe,okay ke pov Ayyan. Saya saje tulis sebab tiba-tiba teringin nak tulis pov Ayyan, tapi jadi sakit aty pulak bila ainura muncul. Huhu, akhirnya Firshad yg jadi kekasih Arina. Dan,,,, jeng jeng jeng... siapa dtg tu???
Bạn đang đọc truyện trên: TruyenTop.Vip