ITY 2 Bab 5
ITY 2 BAB 5
AKU mengusap pipi yang basah. Rasa sakit di dada masih lagi terasa. Sakitnya, hanya Allah yang tahu. Debar yang mendera juga tidak surut. Mimpi itu seakan nyata. Aku meraih telefon pintar, pukul 8 pagi. Ternyata panggilan telefon itu pun mimpi semata. Permohonan maaf Yusuff pun mimpi. Segalanya mimpi.
Zulaikha.
Nama itu aku sebut lirih.
Adakah mimpi tadi adalah satu petanda bahawa rumahtangga aku akan goyah?
Ya Allah, aku mohon jangan.
Badan yang masih trauma aku gagahkan, hendak menjenguk Isha. Kasihan anakku, terbiar kerana aku terlena tadi. Haraplah anak aku baik-baik saja.
Sesampai di depan baby cot Isha, aku kendong anakku. Panas. Malah lebih panas dari sebelum ini. Jantungku bagaikan mahu tercabut apabila merasai dahinya, sangat tinggi suhunya. Aku mulai ditebuk kegusaran. Telefon di bilik aku capai, segera aku dail nombor Yusuff. Banyak kali aku dail, hanya mesin operator menjawab. Aku menggigil takut jika terjadi sesuatu pada Isha.
Mendail dan terus mencuba, langsung tak berjawab. Aku menangis teresak-esak, dalam keadaan begini Yusuff tidak peduli. Kemana dia? Kalau sibuk sekalipun tolonglah jawab sekali saja.
Akhirnya aku putus asa, aku capai tudung hitam, pakaian yang selekeh ini tidak aku peduli. Jika Yusuff tiada, aku terpaksa pergi seorang diri dengan menaiki grab car. Itu saja jalan yang aku ada.
"Sayang, bertahan ya... Maafkan mama... Tolong jangan jadi apa-apa. Mama sayang Isha... Sayang sangat..."
"ISHA macam mana?" Kedengaran suara Yusuff menyapaku. Aku mengesat tubir mataku yang basah, lalu memeluk tubuhnya. Kesedihan yang merantai diri membuatkan aku tak berdaya untuk mengungkapkan keadaan anakku. Tersedu sedan aku lempiaskan air mata di dada bidangnya. Namun, lekas pula Yusuff menolak tubuhku. Seakan tidak sudi menenangkan gelora hatiku yang berentak gundah. Ya Allah... Berikan aku kekuatan.
"Kenapa? Apa jadi kat anak abang?" Keras nadanya menyoal, sepertinya dia ditenggelam rasa marah. Pasti dia akan salahkan aku bila ketahui keadaan Isha.
"I... Isha..." Aku tak berani pandang matanya. Bibir bergetaran, bagaikan terbayang-bayang wajah pucat sang anak. Menangis tak berhenti. Terasa gagal menjadi seorang ibu melihat penderitaan anakku. Dicucuk bahunya untuk diambil sampel darah. Ditusuk pergelangan kecilnya, untuk dimasukkan drip air. Ya Allah... Ini semua salahku.
"Cakap Asiah! Kenapa dengan anak abang?" gertaknya tidak puas hati. Daguku ditarik kasar agar aku pandang tepat ke matanya. Berlinangan air mata kesal.
"Isha demam panas. Dia kena tahan wad. Teruk demamnya, abang..." lemah aku tuturkan bicara. Pandangan Yusuff bertambah tajam, seakan hendak menikam aku. Pasti dia bencikan aku.
"Abang dah cakap jaga anak elok-elok. Tengok apa jadi. Sekarang doktor cakap apa?" Yusuff buang keluhan berat. Dia tidak lagi memandangku. Rambutnya disebak ke belakang. Mukanya diraup kasar. Menyerabaikan pula rambutnya. Ternyata dia masih menyalahkan aku.
"Doktor nak tengok dalam dua hari okey ke tak. Doktor cakap kalau tak okey boleh bahayakan nyawa Isha. S... saya takut, abang. Saya takut Isha tinggalkan saya..."
"Sebab tulah abang cakap tolong ubah perangai. Dah jadi macam ni apa kita boleh buat? Menangis pun tak gunalah!"
Jelas lukaku makin dalam. Bukankah tika aku berduka dia sepatutnya menenangkan aku? Kenapa dia malah mempersalahkan aku seratus peratus?
"Macam mana cucu mama?" Diserbu pula dengan kehadiran Mama Yusuff. Mata mama menjeling aku tajam, marahkan aku tanpa tahu apa yang terjadi. Dari dulu mamanya tak pernah sukakan aku. Masa aku datang ke rumahnya dengan membawa Isha pun, dia hanya pedulikan Isha. Layanan hanya diberikan kepada Isha dan suamiku. Aku hanya dilihat acuh tak acuh. Kali ini, pasti dia lebih membenci aku.
"Demam panas. Doktor akan pantau Isha dua hari. Mama jangan risau, Isha akan sembuh seperti sediakala," pujuknya lembut sambil mengelus bahu mamanya. Aku yang melihat hanya diam tidak berkutik. Tak berani menyampuk.
"Mama risau. Mama dah cakap mama nak jaga Isha. Tapi ada orang tu degil nak jaga tapi tak reti. Anak sendiri demam pun boleh masuk hospital. Mama dulu jaga anak mama cukup sihat, tak pernah sakit demam sampai begini teruk. Entah dia jaga ke tidak cucu mama tu, Yusuff. Buat kerja sambil lewa ke sampai cucu mama sakit?" Bebelan merejam hingga terasa tertusuk ke jantung. Aku menahan rasa perih ini, sakitnya disindir. Segalanya dipersalahkan pada aku. Memang aku ibu yang tak berguna, kan?
"Sabar, ma... Kita doakan je baik-baik untuk Isha." Yusuff bersuara lagi, wajah mamanya ditatap kemudian aku pula dipandang. Tapi tatapannya nampak tidak senang dengan aku.
"Kesian cucu nenek. Cepat sembuh ya, sayang." Mama mendekati katil kecil Isha. Dia usap pipi anakku. Mukanya keruh. Aku tahu mama sayang sangat dengan cucunya. Hanya cucunya bernilai di matanya. Jikalau aku yang sakit pasti dia tidak sepeduli ini. Menantu tanpa restu, kan?
"Apalah nasib Isha. Dapat ibu yang macam dia. Kalaulah Ikha jadi mama kamu. Pasti tak jadi begini teruk."
Aku terpaku. Dadaku sakit dihentak dengan bicara tajam seperti itu. Sakitnya menerima nama Zulaikha disebut oleh mak mertuaku. Kenapa perlu sebut nama dia, sedangkan aku ada di sini? Kenapa perlu bezakan aku dengan Zulaikha? Sempurna sangat ke Zulaikha di mata mama? Hampir terlucut gugusan cecair bening di kelopak mata, namun aku tegah ia daripada memalukan diri. Aku tak boleh terlihat lemah di depan mama dan Yusuff.
"Ma... Dah lah tu, jom keluar. Waktu melawat dah habis." Yusuff menegur, sambil mata menjenguk jam Rolexnya.
Mama mengucup pipi Isha. Dia mengusap rerambut Isha dengan penuh kasih sayang. Aku sekadar memerhati.
"Cepat sembuh ya, sayang. Nenek balik dulu... haraplah mama kamu tu jaga kamu elok-elok. Jangan sambil lewa lagi sudah."
Aku tahan hati. Masih tak habis lagi niat mama untuk sakiti aku. Sindiran pedas dilontarkan seakan aku ini tidak punya jiwa. Ah, lupa... Aku dulu sememangnya jiwa kosong. Semenjak mengandungkan Isha, perasaan aku mulai kembali normal. Rasa sedih sering membelenggu aku. Senang saja tersentuh hati. Entah kenapa jadi begitu?
Mama berlalu melepasiku dan sekadar mengerling dari ekor mata sebelum berlalu keluar. Yusuff pula menghadap aku semula. Pipiku disentuh lembut. Aku jadi terkejut, seraya aku pegang tangannya. Sayu terasa bila tiada senyuman diberikan kepadaku. Yang ada hanyalah matanya kosong tanpa aliran kasih sayang seperti sebelum ini. Jelas dia masih marahkan aku.
"Jangan hirau nama yang mama sebut tadi. Faham?" Pesannya dengan suara dingin.
Aku hanya diam. Tidak dapat menipu, aku sangat berkecil hati. Dia pergi setelah aku menyalaminya. Namun aku tahu dia saja nak sedapkan hati aku. Manalah tahu Zulaikha akan hadir dalam hidupnya seperti dalam mimpi buruk aku itu?
Bạn đang đọc truyện trên: TruyenTop.Vip