PROLOG 💔

AIR mata yang menitis tak mampu aku seka lagi. Aku tidak terdaya untuk menghalang titisan jernih ini. Hatiku rapuh tatkala melihat wajah lelaki yang bergelar ‘abang’ meskipun selama ini lelaki itu tidak menerima kehadiranku sebagai adiknya. Ya, aku sedar aku hanyalah anak angkat atau layak digelar anak pungut. Aku dibuang oleh ibu kandungku sendiri di tepi tong sampah, dan akhirnya aku dijaga rapi oleh Bonda Sufiyah di pusat jagaan anak-anak yatim.

Bila umurku jejak tiga tahun, aku diambil oleh mama angkatku dan dijaga aku sehinggalah aku berusia sembilan belas tahun. Di sepanjang kehadiran aku dalam banglo itu, ada susuk lelaki bernama Zein Alsheirash yang sungguh tidak menyukai kewujudan aku dalam kehidupannya. Bila perhatian mama dan papa berlebihan untukku, dia membenciku beribu kali sehingga aku kelelahan menghadapi segala amarahnya. Seringkali aku cuba lari rumah kerana tidak tahan dengan tohmahan Abang Zein. Namun, mama dan papa menyayangiku. Tidak pernah beri peluang untuk aku pergi.

Dahiku yang berparut sebesar 50 sen itu aku usap. Masih kekal sehingga kini, bukti diri ini dikasari oleh Abang Zein. Masih teringat tika aku bermain basikal, Abang Zein dengan sengaja menendang tayarku sehingga basikal hilang kawalan dan aku tersembam ke bawah tanah. 10 jahitan di dahi terpaksa aku terima. Namun, sebesar kuman pun tidak tersisa sebarang benci untuknya. Aku reda dengan takdir Ilahi.

“Dara… baliklah berehat. Mama tengok kamu dah lama tunggu abang.” Mama mengusap belakang tubuhku. Tangan berlabuh mencari tangan mama. Digenggam erat.

“Biarlah Dara teman abang. Hari isnin dah mula kelas, susah pula Dara nak jenguk abang kalau dah pergi kelas nanti,” jawabku bersama senyuman nipis, cuba meyakinkan mama bahawa aku sedia menemani abang sebelum melangkah ke alam kolej.

Mama mengusap kepalaku yang bertudung litup, pipiku dibelai lembut.

“Anak mama baik sangat walaupun abang layan Dara macam tu…” Sayu renungan mama buatku. Kepala hanya menggeleng. Tidak mengapa, apapun abang buat akan aku ikhlaskan sebuah kemaafan untuknya. Tidak pernah menyimpan dendam. Untuk apa berdendam kepada keluarga yang banyak berjasa kepada aku. Lambat laun, mungkin Abang Zein akan terima aku sebagai adiknya. Doa tak pernah lelah aku panjatkan kepada Ilahi agar Abang Zein akan menyayangiku seperti mama dan papa kasihkan aku.

“Lepas maghrib Dara balik, ya? Mama titipkan abang untuk jagaan Dara…” Mama peluk aku sebelum dia keluar daripada bilik di mana keberadaan Abang Zein. Tubuh sasa itu kaku terbaring atas katil. Lama hampir sebulan Abang Zein tidak sedarkan diri. Kemalangan jalan raya yang agak teruk tempoh hari memberi impak cedera parah pada Abang Zein.

Saban hari aku mendoakan kesejahteraan Abang Zein. Menangis dan terus merintih mahukan Abang Zein kembali sedar ke dunia realiti. Aku sangat berharap doaku dimakbulkan Tuhan. Aku tak sanggup melihat penderitaan mama dan papa kerana anak kandungnya sakit parah dan koma. Hancur luluh sekeping hatiku yang rapuh ini.

Andai dapat aku undurkan masa, aku rela jadi pengganti Abang Zein. Nyawaku ini juga rela aku gadaikan untuk dia asalkan dia tidak koma seperti ini. Namun, peluang itu tidak dapat tercapai dalam gapaianku. Segalanya berlaku di atas ketentuan Yang Maha Esa. Aku tidak berhak mengulang kembali roda kehidupan ini. Aku hanyalah insan biasa yang penuh dengan noda dan maksiat.








Bạn đang đọc truyện trên: TruyenTop.Vip